top of page
Search

Kepentingan e-Portfolio Pengajaran

  • Writer: Nur Alia Farhana Zaini
    Nur Alia Farhana Zaini
  • Dec 18, 2022
  • 3 min read

Updated: Jan 31, 2023

Menjadi pendidik kepada generasi yang telah banyak terdedah dengan penggunaan teknologi ini bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak persiapan dan persediaan yang perlu dibekalkan dalam diri para pendidik terutama bagi bakal-bakal guru sebelum menempuh alam pekerjaan yang sebenar. Persiapan yang boleh dilakukan adalah dengan mengasah kemahiran teknologi maklumat dan juga mengurangkan jurang pengetahuan antara bidang pendidikan. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat bahawa pengalaman pertama saya dalam membangunkan e-portfolio peribadi berdasarkan panduan rangka kerja PRO-TeP sangat memberi kesan yang positif kepada diri saya. Hal ini adalah kerana ia telah mewujudkan sebuah kemahiran baharu dalam diri saya iaitu kemahiran untuk membangunkan laman web yang dilengkapi dengan pelbagai elemen teknologi. Ia telah membuka peluang kepada saya untuk meneroka lebih banyak aplikasi dan perisian yang boleh digunakan dalam konteks pendidikan dan penyampaian maklumat.


Selain daripada itu, rangka kerja ini juga telah menyedarkan saya bahawa setiap perkara yang ingin dilakukan perlu didahului dengan perancangan yang rapi bagi memastikan ia berjalan dengan lancar dan segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik. Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam penyediaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang seperti kita sedia maklum ia sesuatu yang sangat penting bagi seseorang yang bergelar guru. Di samping itu, proses pembangunan e-portfolio ini juga telah mendidik saya untuk menghargai masa dengan lebih baik kerana proses ini mengambil tempoh perancangan dan penyediaan yang panjang sebelum dapat disiapkan dengan rapi dan sempurna. Ia mengajar kita untuk sentiasa menghargai masa yang ada dan memanfaatkan setiap saat dengan perkara yang berguna.


Dalam pada itu, banyak kelebihan dan manfaat yang boleh diperolehi daripada pembinaan laman e-portfolio ini. Antaranya ialah laman ini boleh menjadi sebuah platform pengumpulan segala dokumen, sijil dan artifak tentang perjalanan hidup kita yang bermula dengan secebis kejayaan kecil sehingga kita berjaya dengan cemerlang. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Pembinaan e-portfolio ini juga merupakan salah satu cara pengurusan maklumat yang sangat baik dan sistematik dimana ia akan memudahkan proses pencapaian dokumen tanpa mengira waktu dan tempat kerana segalanya terdapat pada hujung jari.


Oleh hal yang demikian, kemahiran yang diperolehi daripada pembangunan e-portfolio ini turut mendorong kita untuk menjadi seorang pendidik milenial yang cemerlang. Seperti yang telah saya sebutkan pada blog sebelum ini, pendidik milenial adalah guru yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengintegrasikan teknologi dalam PdPc selaras dengan generasi kini yang lebih banyak terdedah dengan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian. Jadi dengan membangunkan laman e-portfolio ini, saya dapat menambah ilmu pengetahuan yang baru dan mempelajari sedikit sebanyak teknik reka bentuk yang baik. Dengan ilmu pengetahuan ini, saya akan menjadi seorang guru yang mahir dalam pelbagai jenis teknologi dan seterusnya dapat menghasilkan sebuah PdP yang menarik.


Namun begitu dalam usaha untuk membangunkan laman e-portfolio ini, sudah pasti akan ada sedikit pahitnya cabaran yang perlu ditempuhi bagi memastikan pembangunan laman ini berjaya. Pada pandangan saya, cabaran besar yang perlu saya hadapi adalah pada proses pengumpulan idea untuk mereka bentuk isi kandungan dalam e-portfolio ini. Hal ini adalah kerana saya juga perlu berhadapan gangguan teknikal yang sukar apabila external hard disk yang saya gunakan untuk menyimpan segala data telah rosak dan saya tidak berjaya mendapatkannya semula. Bahan-bahan seperti RPH, video pengajaran, laporan, sijil, dan gambar-gambar tersebut adalah amat berharga bagi saya dan secara tidak langsung ia telah meruntuhkan motivasi saya untuk mempamerkan bahan pengajaran saya di dalam laman ini. Saya mengambil masa yang agak lama dengan mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan data saya semula. Namun walaupun masih tidak berjaya, saya sedar bahawa saya perlu terus bangkit kerana saya yakin pasti akan ada pelangi selepas hujan. Hal ini mungkin hanya secebis cabaran kecil untuk saya jika ingin dibandingkan dengan cabaran yang dihadapi orang lain kerana belum tentu saya dapat mengharunginya. Oleh itu, saya percaya bahawa setiap cabaran perlu dipandang dari sudut yang positif bagi memastikan kita untuk terus berjuang dan jangan jadikan ia sebagai pematah semangat. Saya amat bersyukur dengan adanya nasihat pensyarah, dan juga sokongan serta bantuan daripada rakan-rakan telah semangat baru kepada saya untuk terus berusaha.


Akhir sekali, perancangan saya pada masa depan terhadap laman ini ialah saya akan sentiasa mengemaskini bahan-bahan dalam laman ini dengan bahan yang terkini selaras dengan rangka kerja PRO-TeP iaitu pada langkah terakhir iaitu fasa menilai. Hal ini adalah kerana pada fasa berikut, kita perlu menambahbaik sebarang kekurangan yang terdapat dalam laman tersebut. Saya juga akui bahawa laman e-portfolio yang saya bangunkan ini belum cukup sempurna dan memiliki banyak kekuranga. Oleh itu, saya perlu memastikan laman ini sentiasa hidup dengan bahan-bahan yang baharu.






 
 
 

Comments


bottom of page