
Falsafah Pengajaran
Setiap insan pastinya ada pegangan hidup yang berbeza dan setiap satu tujuan tersebut pasti akan dicapai tidak kira cepat atau lambat. Dalam konteks perguruan juga begitu, setiap guru mempunyai pegangan yang sentiasa diamalkan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih ikhlas dan bersungguh-sungguh. Terdapat satu pegangan hidup yang sentiasa amalkan dalam kehidupan saya iaitu "TREAT PEOPLE HOW YOU WANT TO BE TREATED" yang membawa maksud layanlah orang lain sebagaimana kita hendak dilayan. Secara ringkasnya, jika kita ingin dilayan dengan baik, kita juga hendaklah layan orang lain dengan baik. Pegangan inilah yang sentiasa saya pegang untuk memupuk diri saya untuk sentiasa berbuat baik kepada semua umat manusia kerana setiap perbuatan pasti ada balasannya.
​
Pegangan ini turut saya aplikasikan dalam dunia pendidik saya. Saya ingin mendidik sebagaimana saya ingin dididik pada zaman persekolahan dahulu. Hal ini kerana saya mempunyai banyak pengalaman pahit manis dalam menuntut ilmu dan saya sangat memahami perasaan sebagai seorang pelajar yang lemah dan perlahan di dalam kelas. Oleh itu, saya tidak mahu anak didik saya merasai perkara yang sama dan saya akan memastikan semua pelajar dapat merasakan pengalaman belajar yang menyeronokkan dan berkesan. Namun begitu, saya juga faham cabaran dan liku yang perlu saya hadapi untuk merealisasikan perkara tersebut. Justeru itu, terdapat beberapa aspek yang saya perlu kuasai iaitu:
​
-
Saya perlu menguasai bidang pendidikan saya dengan mendalam dan juga mempunyai pengetahuan yang luas merentasi pelbagai bidang. Seperti yang kita tahu, ilmu tidak terhad dan tidak akan pernah cukup kerana ilmu sangat luas. Maka, saya ingin terus menuntut ilmu dan belajar perkara baharu pada setiap hari. Walaupun setelah saya tamat pengajian ijazah sarjana muda ini, saya ingin terus menyertai kursus atau program yang boleh menambah ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang dan seterusnya mengasah kemahiran saya. Daripada itu saya akan dapat berkongsi segala ilmu kepada anak didik saya.
-
Apabila telah bergelar seorang guru, saya akan pastikan saya mampu mengenal setiap pelajar saya. Hal ini kerana saya tahu bahawa setiap orang mempunyai kemampuan dan kelebihan yang berbeza. Oleh itu, saya harus bijak mempelbagaikan pendekatan dalam pengajaran bagi memastikan semua pelajar mendapat pengetahuan yang sama tidak kira sama ada mereka pelajar lemah atau cemerlang.
-
Akhir sekali, telah menjadi keutamaan saya untuk menjadi seorang guru yang disenangi oleh para pelajar, rakan guru dan termasuklah semua kakitangan sekolah. Saya percaya bahawa dalam hidup ini kita tidak boleh terlalu serius dan kita perlukan sedikit kemanisan dan kemesraan dalam pergaulan agar hari-hari kita akan rasa berbaloi walaupun sedang ditimpa masalah. Untuk mencapai perkara ini, saya perlu wujudkan kepercayaan pelajar terhadap saya agar mereka akan lebih selesa untuk belajar dan bertanya soalan. Hubungan dua hala antara pelajar-guru akan menjadi lebih baik dan mudah untuk guru membantu pelajar menguasai atau menyelesaikan sesuatu perkara.
​
Mahupun begitu, saya sedar bahawa perkara-pekara ini bukanlah mudah untuk dikecapi dan saya perlu berusaha lebih keras untuk mencapainya. Namun saya akan pastikan usaha saya konsisten walaupun lambat kerana pasti ada kemanisan dalam setiap langkah.